Monday 3 October 2011

MEMAHAMI SECARA POSITIF

                                            
Pada suatu masa dahulu ada sepasang suami isteri yang mempunyai dua orang anak lelaki. Semasa hidupnya, si ayah telah berpesan dua perkara kepada anak-anaknya. "Anak-anakku, ayah ingin berpesan sesuatu untuk bekalan hidupmu. Pertama, jangan sekali-kali mengutip hutang kepada orang yang berhutang kepadamu. Kedua, jangan terkena sinaran matahari semasa pergi dan balik dari bekerja. Ingatlah pesan ayah ini," tekan ayahnya lagi.
Tidak lama setelah berpesan, maka  si ayah pun meninggal dunia. Tinggallah isteri dan anak-anaknya meneruskan kehidupan. Setelah beberapa lama, kedua-dua anak telahpun besar dan menjalani kehidupan serta mempunyai kedai masing-masing. Anak yang sulung hidup dalam kesenangan manakala anak yang bongsu hidup dalam kedaifan.
Si ibu pergilah melawat kedua-dua anaknya untuk melihat kehidupan yang dijalani oleh mereka. Si ibu berkunjung ke rumah anak yang bongsu terlebih dahulu. "Wahai anakku, mengapa kehidupanmu jadi begini?," tanya si ibu kepada anak bongsunya. Anaknya pun menjawab, "Wahai ibu, kehidupanku jadi begini kerana aku berpegang kepada pesan ayahku bahawa aku tidak sekali-kali mengutip hutang kepada orang-orang yang berhutang kepadaku. Maka disebabkan itulah, modalku telah habis. Ayah juga berpesan agar tidak terkena sinaran matahari semasa bekerja. Maka wahai ibuku, aku telah menggunakan wang yang banyak untuk menyewa teksi pergi dan balik dari kedaiku. Maka disebabkan itu jugalah modalku menyusut."
Setelah itu, si ibu melawat anak sulungnya dan mengemukakan soalan yang sama. Jawab anak sulung, "Wahai ibuku, aku hidup dalam kesenangan begini adalah kerana aku berpegang kepada pesanan ayah. Ayah berpesan agar jangan mengutip hutang kepada orang yang berhutang kepadaku, maka aku tidak membenarkan sesiapapun berhutang kepadaku. Pesan ayah yang kedua supaya aku tidak terkena sinaran matahari semasa pergi dan balik, aku turuti jua pesanan ayah ini. Oleh itu, aku pergi bekerja sebelum matahari terbit dan balik ke rumah setelah matahari terbenam untuk mengelakkan diriku terkenan sinaran matahari. Oleh kerana kedaiku dibuka awal daripada kedai-kedai yang lain, maka ramailah orang suka berkunjung dan membeli di kedaiku."
Pengajaran daripada cerita di atas adalah bagaimana kita menanggapi sesuatu itu dan kita harus melihat, memahami dengan cara yang POSITIF.
Sekian.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...