Monday 3 October 2011

MEMAHAMI SECARA POSITIF

                                            
Pada suatu masa dahulu ada sepasang suami isteri yang mempunyai dua orang anak lelaki. Semasa hidupnya, si ayah telah berpesan dua perkara kepada anak-anaknya. "Anak-anakku, ayah ingin berpesan sesuatu untuk bekalan hidupmu. Pertama, jangan sekali-kali mengutip hutang kepada orang yang berhutang kepadamu. Kedua, jangan terkena sinaran matahari semasa pergi dan balik dari bekerja. Ingatlah pesan ayah ini," tekan ayahnya lagi.
Tidak lama setelah berpesan, maka  si ayah pun meninggal dunia. Tinggallah isteri dan anak-anaknya meneruskan kehidupan. Setelah beberapa lama, kedua-dua anak telahpun besar dan menjalani kehidupan serta mempunyai kedai masing-masing. Anak yang sulung hidup dalam kesenangan manakala anak yang bongsu hidup dalam kedaifan.
Si ibu pergilah melawat kedua-dua anaknya untuk melihat kehidupan yang dijalani oleh mereka. Si ibu berkunjung ke rumah anak yang bongsu terlebih dahulu. "Wahai anakku, mengapa kehidupanmu jadi begini?," tanya si ibu kepada anak bongsunya. Anaknya pun menjawab, "Wahai ibu, kehidupanku jadi begini kerana aku berpegang kepada pesan ayahku bahawa aku tidak sekali-kali mengutip hutang kepada orang-orang yang berhutang kepadaku. Maka disebabkan itulah, modalku telah habis. Ayah juga berpesan agar tidak terkena sinaran matahari semasa bekerja. Maka wahai ibuku, aku telah menggunakan wang yang banyak untuk menyewa teksi pergi dan balik dari kedaiku. Maka disebabkan itu jugalah modalku menyusut."
Setelah itu, si ibu melawat anak sulungnya dan mengemukakan soalan yang sama. Jawab anak sulung, "Wahai ibuku, aku hidup dalam kesenangan begini adalah kerana aku berpegang kepada pesanan ayah. Ayah berpesan agar jangan mengutip hutang kepada orang yang berhutang kepadaku, maka aku tidak membenarkan sesiapapun berhutang kepadaku. Pesan ayah yang kedua supaya aku tidak terkena sinaran matahari semasa pergi dan balik, aku turuti jua pesanan ayah ini. Oleh itu, aku pergi bekerja sebelum matahari terbit dan balik ke rumah setelah matahari terbenam untuk mengelakkan diriku terkenan sinaran matahari. Oleh kerana kedaiku dibuka awal daripada kedai-kedai yang lain, maka ramailah orang suka berkunjung dan membeli di kedaiku."
Pengajaran daripada cerita di atas adalah bagaimana kita menanggapi sesuatu itu dan kita harus melihat, memahami dengan cara yang POSITIF.
Sekian.

Friday 30 September 2011

SELAMAT TINGGAL SEPTEMBER 2011

  1. Hari ini hari terakhir bulan September 2011. Alhamdulillah, untuk setakat hari ini bersyukur ke atas kehidupan yang telah dijalani, atas nikmat panjang usia, nikmat kesihatan, kebahagiaan, kesenangan dan banyak lagi nikmat-nikmat lain yang telah dikecapi.
  2. Kita harus sedar bahawa di dalam kehidupan ada pahit, manis, tawar dan berbagai rasa yang telah dialami dan bakal dihadapi. Oleh kerana kita manusia yang dianggap mempunyai perasaan dan rasa, kita adalah individu yang berbeza daripada individu yang lain.
  3. Keberlainan inidividu ini sebenarnya wujud secara semulajadi dan psikolgi. Sebagai bahasa yang mudah, setiap individu adalah UNIK. Unik dari segi kelahirannya, rupanya, pengalaman-pengalaman yang dilaluinya, budaya hidupnya dan sebagainya yang menunjukkan perbezaan dengan individu yang lain.
  4. Walaupun begitu, kita harus membentuk diri kita menjadi manusia yang lebih baik dalam erti kata pertumbuhan dan kesempurnaan.
  5. Kesimpulannya, jadilah manusia yang lebih baik dari hari ini walaupun kita mempunyai latar yang berbeza. Jadilah manusia yang bertimbang rasa kerana yang demikian akan menjadikan kita seorang yang sentiasa bersyukur dan sentiasa bermuhasabah. 
  6. Selamat tinggal September 2011!

Saturday 17 September 2011

TIDAK PERLU BERSEDIH

                                                
  1. Mengapa harus bersedih? Kita boleh bersedih sekali-sekali..tetapi sedih yang berpanjangan hanya akan menyebabkan jiwa kita lemah.
  2. Sedih atas kekurangan diri berbanding orang lain yang lebih sempurna sepatutnya dijadikan sebagai penguat keazaman kita untuk bangkit memperbaiki diri sendiri.
  3. Oleh yang demikian, sekurang-kurangnya pada zaman ini kita harus mempunyai sekurang-kurang satu kemahiran/ skill yang boleh digunakan untuk terus hidup. (bukan kemahiran yang 'jahat').
  4. Setiap masalah haruslah dilihat sebagai peluang. Itulah gaya seorang usahawan berfikir.
  5. Ramai antara orang-orang yang telah berjaya pada hari ini sebenarnya melalui liku-liku hidup yang kita tidak tergambar pernah dihadapi oleh mereka. Ini adalah kerana mereka mempunyai jiwa yang kuat untuk menghadapi cabaran.
  6. Apa yang penting, usaha untuk memajukan diri sendiri itu harus ada dan selebihnya jangan lupa berdoa untuk keberkatan hidup.
  7. Jadi, kesatlah airmata, lupakan kisah lalu, hidup perlu diteruskan. Ingatlah...sekiranya kita ingat kita adalah insan yang paling malang di dunia ini, sebenarnya masih ada lagi yang lebih malang daripada kita.
  8. Kaedah bersyukur atas nikmat yang telah diterima juga mampu membantu kita bila berada dalam keadaan bersedih.
  9. Sebagai contoh, sekiranya kita bersedih atas kematian ahli keluarga kita, kita jangan lupa yang kita ini pernah hidup gembira dan sempat mengecapi bahagia bersama ahli keluarga yang telah meninggalkan kita, jadi bersyukurlah untuk kenangan yang tersebut.
  10. Sekian.

Friday 16 September 2011

MENZIARAHI ORANG SAKIT

                                                         

  1. Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam.
  2. Sebenarnya ziarah-menziarahi digalakkan bukan sekadar pada masa sakit sahaja bahkan melengkapi semua keadaan.
    Adab Menziarahi Orang Sakit
  1. Jangan duduk terlalu lama di sisinya kerana duduk terlalu lama membawa kepada jemu si pesakit itu.
  2. Zahirkan simpati kepadanya seolah-olah kita juga berasa sebagaimana ia merasakannya.
  3. Doakan untuknya seperti dikatakan "Ya Tuhanku, afiatkanlah/ sihatkanlah sahabatku ini," atau dikatakan baginya, "Semoga Allah menyembuhkan saudara dengan segera."
  4. Nasihatkan supaya bersabar kerana dengan sakit itu mendapat pahala yang banyak dan ini sebagai dugaan semata-mata.
  5. Jangan makan-makanan yang dihadiahkan orang kepadanya atau makanan yang disediakan untuknya kerana apabila dimakan maka hilanglah pahala ziarah itu.
    Adab Menziarahi Orang Yang Sakit Tenat
  1. Apabila pesakit itu sudah tenat dan harapan untuk sembuh adalah tipis.
  2. Antara tanda-tanda kematian sudah terlalu hampir adalah seperti :  Bulu kening sudah jatuh ke bawah tidak terletak di atas tulang dahi, hidung sudah lembik, tapak kaki sudah tidak tegak, telinga sudah layu.     
  3. Maka patutlah dilakukan beberapa perkara umpamanya hendaklah diberi pengharapan yang Allah akan mengampunkan dosa-dosanya.
  4. Pengharapan yang terakhir ialah sangka baik terhadap Allah.
  5. Jangan biarkan pesakit itu bercakap yang bukan-bukan sehingga menimbulkan perasaan putus asa terhadap rahmat Allah SWT.  

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...